Selasa, 17 Mei 2011

Persediaan

alt

Dua pemuda berbicara tentang masa depan. Pemuda A dan Pemuda B.

A: Aku ada plan mantap untuk 10 tahun akan datang. Dalam masa 10 tahun, aku dah kerja. Nak kumpul duit, nak sambung belajar. Kena ada kereta. Ada rezeki aku nak cari calon isteri. Kasi mak bapak aku happy. Penat mereka besarkan aku. Then aku nak ada syarikat, at least aku boleh la bersara dengan hati senang nanti. Tanah ada, kalau sakit pun ada back up plan. Haa amacam plan aku? Mantap kan?

B: Ooo... (sambil tersenyum)

A: Eh, kau cerita la plan kau macam mana?

B: Aku takde plan untuk 10 tahun akan datang.

A: Eh, kau ni biar betul? Kita lelaki kena la ada plan. Kita kan bakal pemimpin keluarga. Nak tanggung anak bini, balas jasa mak bapak. Kau jangan nak macam-macam bro. Jangan malukan kaum,.. Hehe. So takkan takde plan langsung?

B: Hmm, untuk 10 tahun akan datang takde. Tapi aku ada plan lain.

A: Ha, itu dia. Aku dah agak dah, kawan aku sorang ni takde la bengap sampai tak fikir masa depan ye dak? Cerita la bro, mana la tau kita boleh jadi business partner nanti? Cerita la.

B: Plan aku untuk 10 000 tahun akan datang dalam kubur, tapi pelaksanaan plan itu adalah mulai sekarang. Apa yang malaikat nak tanya aku nanti - semuanya ditentukan oleh semua yang aku buat sekarang.

***

Kisah ini di 'alter' dari perkongsian semalam bagi memudahkan pemahaman.
Terfikir pula, apa plan aku nanti?
Kalau masih hidup, ada masalah boleh minta tolong orang lain.
Kalau dah mati?

Artikel ini bukan sekadar renungan.
Saya manusia, anda juga manusia.
Saya akan mati, anda juga akan mati.

All human beings must die.
I am a human. You are a human.
So you and I must die.

Manusia yang lalai akan merasakan kematian itu jauh darinya.
Dan mereka juga merasakan mustahil esok mereka sudah tiada.
Malah apabila masih hidup keesokan harinya, mereka berbangga dengan anggapan itu.
Seolah-olah terbukti benar.

Rata-rata manusia akan berang bila diingatkan tentang kematian.
Seolah-olah masih lama lagi untuk hidup.
Jujur, saya dulu juga begitu.
Tapi ingat!

Mati itu tiga sifatnya.
Pasti, ghaib dan tiba-tiba.
Artikel ini bukan untuk mendoakan kematian sesiapa.
Tidak!

Malah setiap kematian yang berlaku wajar diambil ibrah.
Tapi sayang,
Ramai yang menyangka kematian itu pengakhiran segalanya.
Sebenarnya kematian itu satu permulaan.
Permulaan kepada sesuatu yang abadi.
Bukankah kita tahu,
Hidup ini hanyalah senda gurau dan permainan?

Jadi fikirkan kembali,
Masih mahu marahkah kita apabila diingatkan tentang kematian?

Atau

Adakah hanya mahu ingat apabila diingatkan?

Andai syurga itu tidak cukup menggiurkan;
Apakah neraka tidak cukup menakutkan?

Istighfar...

Jadi bagi yang membaca [mungkin ada, mungkin tak ada]
Kalau ada yang terasa, itu petanda yang baik.
Maksudnya, anda masih kisah tentang akhirat.
Cuma mungkin taufiq [kekuatan untuk melaksanakan] masih belum ada.
Mohonlah pada Allah tanpa putus asa.

"Because your journey ends when you give up."

Bila berbicara hal akhirat, ramai orang menyangka dunia akan terabai.
Maaf, itu bukan ajaran Islam.
Islam mengajar bahawa andainya mahukan akhirat, perlu memanfaatkan dunia.
Memanfaatkan dari segi: Melakukan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya.
Ilmu perlu dituntut, kekayaan perlu dicari dan seterusnya - diinfakkan.
Tapi semua itu perlu dilakukan kerana-Nya, bukan kerana dunia.

Kerana yang mengiringi jenazah hanya 3 perkara :-

1. Harta yang diinfakkan [didermakan untuk kebajikan]
2. Ilmu yang dimanfaatkan.
3. Doa anak yang soleh.

Jadi, sudah bersediakah kita?
Atau,
Mahu tunggu Izrail datang memanggil?
Maaf, waktu itu sudah terlambat.

Why wait when you can do it now?

Tak perlu drastik, cuba mulakan dengan yang wajib.
Contoh : solat - yang paling diringankan, namun paling berat hisabnya.
Kalau dah cukup 5 waktu, cuba solat di awal waktu pula.
Lagi bagus, berjemaah.
Kalau dah buat semua tu, cuba amalkan solat sunat pula.
Kalau dah buat, cuba amalkan baca Quran beserta tafsir pula.
Kemudian berbuat baik sesama manusia, jaga hablumminannas.
Kalau macam masih susah, cuba untuk berlapang dada.
Berbuat baik kepada ibu bapa [ini saya juga perlu baiki, doakan]
Berbuat baik kepada kakak, adik [maaf family saya semua perempuan kecuali ayah]
Kalau semua di atas masih lagi susah, utamakan solat.
Itulah pengikat kita dengan Allah SWT.
Mohon pada Allah agar dilembutkan hati.

There is always room for improvement, yes?
Tipu sungguh kalau kita kata tiada.

'Mustahil' itu terjadi apabila
- Tak pernah dilakukan
- Tak biasa dilakukan
- Pelik apabila dilakukan
- Tak mahu dilakukan

Jangan pening. Buat sahaja. Usah peduli kata orang. Yang penting, Allah kan tahu?
Biarlah mungkin usahamu tampak kecil di mata orang. Mungkin juga dipandang remeh, atau disalah sangka.
Sentiasa ingat :-

Abdullah Ibnu Mubarak ra berkata,
"Betapa banyak amalan kecil menjadi besar kerana niat (yang ikhlas), dan betapa banyak amalan besar menjadi kecil kerana niat (yang tidak ikhlas)."

Untuk membuat satu revolusi pada diri bukan perkara mudah - anda akan tahu kalau anda juga sedang mencuba.
Selalu akan ada perkara yang buat kita seolah-olah pulang kepada state sebelum berubah.
Tapi saya teringat kata-kata kakak saya;

"Marah itu mudah, sabar itu terlalu indah"

Kalau nak tahu betapa indahnya sabar itu, cuba bersabar.
Dan bersabar bukan kerana tidak mahu dipandang sebagai pemarah;
Tetapi bersabar kerana Allah.
Kerana takut azab Allah.
Kerana Allah suka orang yang penyabar.
Kerana Allah benci orang yang pemarah.

Sentiasa ada aim untuk buat lebih baik dari semalam.
Dan esok lebih baik dari hari ini [insha Allah, amin]
Kalau terasa ada tersilap langkah, segera mohon ampun-Nya.
Allah itu kan Maha Pengampun.

Mari bersiap sedia!

-Artikel iluvislam.com


Guru Yang Teristimewa


Mengapa aku memilih kerjaya ini? Mengapa? Teringat aku suatu ketika dahulu guru Matematik Tambahan aku pernah berkata,
"Ina, mengapa kamu mahu memilih bidang Pendidikan Khas? Kalau macam tu lebih baik jangan ambil matapelajaran Matematik Tambahan!" .
Ouch.. Aku terkesima.. Mengapa guruku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?

Sekali lagi aku dilemparkan tomahan ketika aku ingin memilih bidang Pendidikan Khas sebagai bidang yang ingin aku ceburi setelah tamat menduduki peperiksaan SPM oleh ibu saudaraku yang tidak bersetuju denganku.
"Ang nak mengajaq anak-anak cacat ka? Biaq betui..Ambikla kursus yang bagus sikit...Tolongla..."
Mengapa ibu saudaraku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan khas?

Suatu hari, jiranku datang kepadaku...Agak pelik kelakuannya.. Bergerak ke sana ke sini. Ketawa berdekah-dekah. Lantas dia berkata kepadaku,"Aku berlakon jadi budak cacat.. Hang kan nak mengajaq budak cacat.."Ku dengar hilai tawanya semakin panjang.Aku menarik nafas panjang. Ya Allah, salahkah aku memilih bidang pendidikan Khas? Mengapa jiranku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?

Di suatu pagi yang cerah.Ibuku menghampiri aku.
" Emm...Mak dengaq orang tua-tua kata kalau mengajaq budak-budak cacat ni nanti kena tulah..Ang tau apa dia tu.Kalau esok hang dah berkeluarga, dah mengandung.Hang pergi sekolah,lepas tu mengajaq budak-budak cacat.Hang tak takut esok-esok anak hang lahir cacat jugak? Macam budak-budak cacat yang hang mengajaq tu?"
Wahai ibuku, hancur luluh hati anakmu mendengar luahanmu.. Mengapa ibuku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?

Ketika aku berada di tingkatan empat, ku lihat wajah-wajah yang mengharapkan perhatian. Ku lihat ada sinar di wajahnya. Ada yang bersifat keanak-anakan sedangkan usia mereka sebaya denganku malah lebih tua dariku. Aku sering memandang ke tingkap kelasku. Ceria mereka mengusik guru-guru mereka.

Aku melihat lagi, seorang pelajar perempuan yang mungkin sebaya denganku memeluk gurunya seerat-eratnya. Senyuman ikhlas terpancar diwajahnya. Mungkin ingin luahan rasa terima kasih kepada gurunya. Mungkin sayangkan gurunya. Mungkin dia memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang yang tak terhingga. Kenangan lama terpaut kembali andai aku pulang ke desa. Sememangnya memberi nostalgia lama dan menggamit seribu kenangan.

Mengapa? Kerana di situlah cintaku mula bercambah. Bercambah dan semakin bercambah.Ya! Aku memilih bidang perguruan. Aku ingin menjadi seorang guru Pendidikan Khas. Itu matlamatku. Akhirnya terlaksana jua keinginanku kerana aku dapat melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru di utara tanah air. Bidang Pendidikan Khas tetap menjadi pilihanku. Hari berganti hari. Sudah genap dua tahun aku menjadi seorang pelajar dan bakal guru demi menggemgam segulung ijazah dalam bidang Pendidikan khas.

Kesabaran tetap menjadi kunci dalam hidupku. Perit jerih aku di institut tidak
mematahkan semangatku demi bergelar seorang pendidik. Tahun pertama aku di
institut pendidikan guru, aku diberi latihan keguruan.

Selama seminggu aku perlu kesekolah untuk menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Selama seminggu, aku datang ke sekolah. Menuju kelas yang sama. Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Aku melihat realitinya. Ya! Memang ini yang akanku hadapi kelak.

Kanak-kanak hiperaktif, Sindrom Down, Disleksia, autisme, Slow learner..
Ya, Allah, kuatkan semangatku demi cinta ini.
"Aku cokelat superman..."
"Aku sak bisa nagis...."
"Bia kelisih ku pei ninggalkanku.."
Lamunanku terhenti. Aku melihat Nasrullah seorang kanak-kanak menyanyi dengan gembiranya. Tiada apa yang perlu difikirkan oleh kanak-kanak ini. Hanya bauan syurga yang bakal menggamitnya.

Setiap hari aku di kelas itu, anak-anak bakal penghuni syurga ini akan menghulurkan tangan. Salam tanda hormat kepada gurunya. Hatiku merintih sayu.Syahdu.Tidak dapat ku gambarkan betapa syahdunya hati ini kerana setiap hari bakal penghuni syurga ini akan selalu tersenyum kepadaku. Bersalam denganku. Ya, Allah aku amat bersyukur dengan nikmat yang engkau berikan . .

Wahai dunia... Ingin aku katakan.. Anak-anak kecil tanpa berdosa ini memerlukan kasih sayang. Perhatian yang tidak terhingga. Jadikanlah kesabaran melekat di hati agar amanah yang Allah berikan tidak disia-siakan. Aku ingin jua katakan kepada diriku..

Wahai Hati, tabahlah.. Engkau bakal menjadi guru.Guru pendidikan Khas. Jangan engkau mengingkari janji-janji kepada Tuhanmu. Jangan sesekali-kali. Perbanyakkanlah ilmu di dada. Engkau guru yang teristimewa!

Ya.... Sangat istimewa...
Ya Allah berikan aku ketabahan.. Berikan kepadaku hati yang ikhlas untuk anak-anak ini..Demi Kasih ini, akanku hadapi dengan berbekalkan keazaman!

Jangan Bertasbihkan Cinta

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.

"Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi tak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya," luah seorang isteri.

"Awak mungkin bercinta, tetapi tak kenal..." ujar saya.

"Tiga tahun bercinta masih tak kenal? Mustahil," balasnya.
"Kenal itu dengan akal dan hati. Mungkin semasa tiga tahun awak berdua bercinta... kurang guna akan dan hati, hanya guna emosi dan nafsu. "
"Akibatnya ini?"
"Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa kenal hati budi."

Begitulah antara dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya. Akibat cinta tanpa kenal dia menderita. Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya punca derita!

Tidak mengapa kalau kita berkenal dahulu terus berkahwin dan kemudian cinta. Seperti Siti Khadijah yang kenal kebaikan Rasulullah saw melalui orang kepercayaannya Maisarah dahulu, terus meminang Rasulullah saw, berkahwin dan kemudian baru bercinta. Untuk kenal orang yang baik, perlulah menerusi orang yang baik. Hanya orang baik yang mengenal orang baik yang lain, seperti mana hanya jauhari mengenal manikam.

Tidak mengapa sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi ia mesti didahului oleh satu perkenalan. Apa yang perlu kita kenal? Tidak lain tidak bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal untuk membina kebahagiaan dalam rumah tangga.

Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih-sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan keduanya mencintai agama. Ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.

Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai tujuan... ada berbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.

Menurut ajaran Islam, ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititik-beratkan sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih-sayang, tanggung jawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas tapak iman.

Diantara prinsip-prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh itu apabila rumah-tangga bergoncang, telitilah semula niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan?

Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakana pada diri, "wahai diri, kau berkahwin kerana Allah..." Insya-Allah, "talian hayat" perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula. Insya-Allah, ketenangan akan menjelma semula.

Selama mana prinsip-prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah menjamin cinta di antara pasangan suami isteri itu pasti tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya-Allah rumah tangga akan kembali tenang walaupun pasti ada pergolakan. Hati-hati yang mengingati yang SATU akan mudah bersatu!

Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa (yang mengenal bakal menantunya) dan perkahwinan itu ternyata berjaya.

Tradisi itu berjalan dengan baik dan teratur kerana pada waktu itu anak-anak sudah dididik dengan asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu-bapa yang baik yang memilih orang yang baik untuk menjadi suami atau isteri anak mereka. Sementara ibu bapa pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya yang juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.

Kita akan dibantu oleh niat yang tulus sebelum berkahwin dahulu. Jika tulus pasti lurus walaupun kekadang bengkak-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi jika awal-awal sudah bengkok, rumah-tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan kembali.

Oleh kerana itu, semasa memilih calon suami atau isteri mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw melalui sabdanya, "Dikahwini wanita itu atas empat perkara: harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan."
Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah kenal, berkahwinlah. Insya-Allah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian berkahwin selepas itu baru kenal...

Eh, ini pelik? Tidak. Ia praktikal dan realistik dulu, kini dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam filem "Bila Cinta Bertasbih". Jika ia mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga mampu direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu jelas digambarkan bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang yang baik. Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah. Tetapi kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya apabila manusia bertasbihkan cinta – kehendak Allah tunduk kepada cinta!

Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi, perkahwinan melalui 'orang perantaraan' (match maker) yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.

Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadian dan lain-lain latar belakang calon. Namun fokusnya tetap "mengenal" agama bakal calon.

Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah – sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya, tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan "maklumat" tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat.

Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang dipertemukan atas keredaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakatnya. Thrill dan suasana suspens sudah semestinya ada yang mana ini menambahkan lagi keindahan pertemuan pertama.

Dan bagi yang sudah lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Justeru dalam perlaksanaan rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan mengekalkan suasana kemanisannya.

Antaranya, isteri sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami sentiasa berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.

Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan 'lesen' seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.

Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.

Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.

Malangnya cinta yang diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu. Seseorang dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat bermahtangga cinta telah berkecai.

Dan bagi yang sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!

Terbukti tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan!

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

Bagaimana Akhirnya Aku Bertudung Labuh


Aku mengurut-urut keningku perlahan-lahan. Penat. Aku baru sahaja selesai mengulangkaji sebahagian buku subjek Muamalat. Ku tutup buku itu lalu aku bangun dan melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke ruang tamu. Kosong. Di mana semua orang. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar menghirup udara petang. Aku segera mencapai sehelai tudung dan menyarungkannya di kepala. Stoking juga ku ambil lalu ku pakai.

Aku melangkahkan kakiku ke luar rumah. Tetapi hasrat untuk berjalan-jalan ku batalkan lalu aku mengambil keputusan untuk naik ke bumbung rumah. Di atas bumbung rumahku ada sebuah bahagian seakan-akan balkoni yang dibina oleh ayahku sebagai tempat istirehat pada waktu-waktu senggang. Ada sebuah meja dan beberapa kerusi buatan sendiri di situ.

Aku melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi yang menghadap ke jalan raya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tudungku turut terbuai ditiup angin semilir petang. Ada anak-anak kecil yang sedan berkejaran. Ada yang sedang berbasikal dan ada yang sedang bermain badminton. Aku tersenyum melihat anak-anak kecil ini. Indahnya alam kanak-kanak.

Di sudut lain pula ada anak-anak remaja yang sedang berkumpul di atas motosikal masing-masing. Mungkin menunggu waktu yang sesuai untuk merempit. Ada juga anak-anak gadis berpakaian kurang sopan sedang berjalan-jalan. Aku mengeluh. Sebagai seorang gadis, aku turut merasa malu melihat mereka berpakaian seperti itu. Ya, lebih memalukan kerana mereka bertudung. Tudung yang bukan tudung dengan pakaian yang ketat dan sendat.

Aku mengalihkan pandanganku ke tempat lain. Hatiku sayu mengenangkan umat Islam kini yang semakin rapuh imannya. Dan aku? Tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Aku bermonolog sendirian. Dahulu, aku juga seperti mereka. Bertudung sekadar syarat. Bagiku, asalkan bertudung itu sudah cukup. Tetapi segala-galanya berubah kerana suatu peristiwa. Aku termenung mengingat kembali peristiwa itu.

************************************************

Kisah itu bermula ketika aku berusia 13 tahun. Aku mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Aku bersekolah di sebuah sekolah menengah agama yang terkemuka di Hulu Langat. Hari pertama persekolahanku, aku berkenalan dengan ramai teman baru dan ada juga teman-teman dari sekolah rendah yang turut menyambung pelajaran di situ sepertiku.

Ingin aku ceritakan betapa indahnya suasana masyarakat di situ. Gadis-gadisnya bertudung labuh dan pemuda-pemudanya segak berkopiah. Suasananya tenang dengan pokok-pokok rendang yang menghijau, kicauan burung dan ikan-ikan yang sedang bermain di kolam. Tetapi, itu adalah perasaan yang ku rasakan kini iaitu saat aku telah menginjak dewasa, saat aku mengenangkannya.

Namun, saat suasana itu sedang ku alami, hatiku remajaku memberontak. Mengapa aku harus bertudung labuh ke sekolah? Hodohnya! Itulah yang ku fikirkan saat itu. Aku gadis bertudung tetapi aku bukan gadis bertudung labuh.

Hari-hari persekolahanku, ku lalui seperti biasa. Aku mula dapat menyesuaikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, kami semua dikehendaki hadir ke sekolah pada hari Sabtu untuk membersihkan kelas sempena Pertandingan Keceriaan dan Kebersihan Kelas. Di rumah, aku mula gelisah. Apa yang harus ku pakai untuk ke sekolah??

'Ish, nak pakai apa ni? Takkan nak pakai tudung pendek ni kot?? Malulah!'

Aku benar-benar bingung. Aku tidak mungkin akan hadir ke sekolah dengan tudung pendekku. Aku malu kerana selama ini semua teman-temanku hanya pernah melihatku bertudung labuh sekolahku itu. Pasti mereka akan menganggapku sebagai seorang yang hipokrit. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminjam sehelai tudung labuh ibuku. Walaupun ibuku tidak bersekolah agama, tetapi dia bertudung labuh. Mungkin kerana dia mengajar di sekolah agama atau mungkin kerana itu adalah keinginannya sendiri. Aku juga tidak tahu.

'Mak, nak pinjam tudung labuh sehelai'
'Nak buat apa?'
'Esok Along kena pergi sekolah'
'Laa..pakai je la tudung yang Along biasa pakai tu'
'Taknak, Along malulah. Nanti apa pulak kata kawan-kawan Along kalau tengok Along pakai tudung pendek'
'Hah, yelah. Ambillah yang mana Along nak'

Aku segera mengambil sehelai tudung ibuku yang berwarna krim. Hatiku melonjak girang. Bolehlah aku ke sekolah dengan bertudung labuh nanti. Tidak perlulah aku berasa malu dengan teman-temanku lagi.

Esoknya, aku memakai sehelai t-shirt dengan tudung labuh tersebut. Agak lucu kerana tudung itu agak besar denganku. Ah, aku tidak peduli asalkan aku ke sekolah dengan bertudung labuh. Ibuku menghantarku ke sekolah. Saat aku tiba ke sekolah, aku terkedu. Teman-temanku sudah sampai. Ramai. Lelaki dan perempuan semuanya sudah berada di dalam kelas. Tetapi bukan itu yang membuatku terkedu.

'Tengok, kawan-kawan kamu tu tak ada pun yang pakai tudung labuh. Tu lah, mak cakap pakai tudung biasa je kamu takanak dengar. Degil'

Aku hanya mendiamkan diri. Perlahan-lahan aku membuka pintu kereta. Kakiku melangkah lesu keluar dari perut kereta. Terasa seakan-akan semua orang memandangku. Saat itu, aku rasa seperti ingin menangis. Terasa seakan-akan semua orang sedang ketawa melihatku.

Mataku liar memandang sekeliling. Ya, ada yang turut berpakaian sepertiku. Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan. Tetapi, teman-teman rapatku semuanya bertudung pendek. Dan mereka berlagak seolah-olah tidak mengenaliku. Aku hanya melangkah lesu masuk ke dalam kelas.

Aku tersenyum mengenangkan kembali kerenahku. Bertudung labuh kerana malu. Ah, naifnya aku saat itu. Aku kembali semula ke zaman persekolahanku.

'Bagusnya kau pakai tudung labuh'

Kata seorang temanku. Lelaki. Aku sekadar mendiamkan diri. Sebetulnya aku malu. Mereka tidak tahu bahawa aku memakainya kerana terpaksa. Kerana malu dan khuatir dikatakan hipokrit.

Sejak saat itu, aku sentiasa memakai tudung albuh apabila perlu ke sekolah pada bukan hari persekolahan. Ya, masih kerana aku malu. Aku tidak ikhlas memakainya. Bahkan aku merasakan aku sangat hodoh memakai tudung labuh. Tetapi aku tetap memaksa diriku untuk bertahan. Ibuku pula kurang memberikan sokongan. Dia tidak kisah samada aku bertudung labuh ataupun tidak. Baginya, cukup sekadar tudungku itu menutup aurat. Labuh menutupi dada. Walaupun ibu bapaku tidak bersekolah agama, mereka amat menitikberatkan ajaran agama dalam keluarga. Aku dilarang sama sekali berpakaian tidak menutup aurat di luar. Walaupun aku bertudung pendek, auratku terjaga. Mungkin kerana tubuhku yang kecil pada masa itu lalu walaupun bertudung pendek, perhiasan wanitaku terjaga.

Suatu hari, aku keluar ke Pekan Kajang bersama kawan-kawanku. Tetapi, kali ini aku bertudung pendek. Ah, aku lebih malu memakai tudung labuh kalau di Kajang. Di situ, orang-orangnya bergaya. Pasti aku akan kelihatan aneh dengan tudung labuh apabila berada dalam kalangan mereka. Malahan aku berbaju ketat dan tudungku silang sehingga nampak perhiasan wanitaku. Aku bersikap berani kerana ibuku dan ayahku tiada di rumah. Mereka hanya akan pulang pada waktu malam.

Aku berpisah dengan kawan-kawanku apabila mahu pulang. Aku pulang dengan menaiki bas. Saat aku masuk ke dalam perut bas, ku lihat hanya tinggal satu tempat duduk di sebelah seorang makcik. Aku segera mengambil tempat. Penat berdiri.

Di pertengahan jalan, makcik yang duduk di sebelahku turun lalu tempatku diambil oleh seorang lelaki muda. Botak. Berpakaian aneh dengan corak tengkorak pada bajunya. Aku mengengsot sedikit lalu memandang kosong ke luar tingkap. Tidak selesa. Tiba-tiba terasa ada tangan seseorang di pinggangku. Aku tersentak tetapi aku tidak segera melatah. Aku menjeling pada pemuda di sebelahku. Matanya tertutup rapat. Sangkaku dia tertidur dan tangannya tidak sengaja menyentuhku. Lalu ku alihkan tangannya dan kembali memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba ia berlaku sekali lagi. Kali ini ku rasakan tangan itu bergerak-gerak menandakan kali ini perbuatan itu disengajakan. Pantas aku mengambil begku dan diletakkan di antara aku dengannya. Kalau ikutkan hatiku yang baran, nahas lelaki ini ku kerjakan. Tetapi, keadaan sesak di dalam bas membantutkan niatku. Aku menudukkan tubuhku dan menongkat dagu memandang lagi ke luar. Dan tak ku sangka lelaki tiu berani meletakkan tangannya di bahuku.

'Hoi!!!'

Tanpa perasaan malu aku bangun dan berteriak. Aku tidak peduli dengan mata-mata yang sedang memandangku. Lelaki ini harus ku ajar. Tetapi dia sekadar membatu di tempatnya tanpa sedikit pun terkuit.

'Kau ni apahal?! Jangan nak kurang ajar dengan aku!'
'Apa?? Apa aku buat kat kau??'

Dia memandangku sinis.

'Apa??'
'Kau..kau..urgh, tepilah, aku nak keluar! Pakcik, berhenti! Saya nak turun!'

Aku berteriak kepada pemandu bas agar segera berhenti. Sakit hatiku melihat wajah pemuda itu. Sebelum aku turun, aku memijak kaki pemuda itu sekuat hatiku. Dia terjerit. Puas hatiku.

'Padan muka, jangan nak main-main dengan aku!'

Aku pulang dengan menaiki bas lain selepasnya. Di rumah, apabila ibuku pulang aku menceritakan peristiwa tersebut pada ibuku. Dia memarahiku. Katanya, aku tidak berhati-hati sehingga ada orang yang mengambil kesempatan terhadapku.

Wajahku berkerut apabila mengingati peristiwa hitam itu. Itu pertama kali dalam hidupku peristiwa sedemikian terjadi padaku. Sejak itu, aku jadi trauma untuk menaiki bas. Tetapi, ada peristiwa selepas itu yang telah mengubahku menjadi seperti aku sekarang ini.

Petang itu, aku baru sahaja selesai menghadiri kelas tambahan di sekolah. Kebiasaannya ibuku akan datang mengambilku tetapi petang itu ibuku tidak dapat datang kerana kereta ibuku rosak dan berada di bengkel kereta. Itu bermakna aku harus menaiki bas untuk pulang.

Suasana di Pekan Kajang seperti biasa. Penuh sesak dengan manusia. Aku mula terbayang peristiwa hitam yang pernah terjadi padaku di dalam bas. Mataku meliar mencari bas yang kosong. Aku tidak mahu mengambil risiko menaiki bas yang penuh sesak. Khuatir peristiwa itu akan berulang lagi.

Bas mula bergerak menuju ke destinasi. Aku duduk seorang diri. Begku letakkan di kerusi sebelahku. Sengaja. Aku tidak mahu ada orang duduk di situ. Tiba-tiba..

'Kak, boleh saya duduk kat sini?'

Seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an menegurku. Aku memandangnya sekilas.

'Suka-suka je panggil aku kakak. Mentang-mentang aku pakai tudung labuh. Tak nampak ke aku bawa beg sekolah ni?'

Aku serba-salah. Aku bimbang peristiwa itu akan berulang lagi. Tanganku perlahan-lahan mengambil beg di sebelah tempat dudukku. Pemuda itu juga kelihatan teragak-agak untuk duduk. Dia sekadar duduk di hujung kerusi. Langsung tidak bersentuh bahu denganku. Aku tersenyum. Lega.

'Sekolah lagi ke?'

Aku tersentak apabila suara lelaki itu menegurku. Aku menoleh dan mengangguk.

'Sekolah agama ke? Kat mana?'
' A'ah, sekolah agama kat Langat'
'Ooh..yeke. Baguslah adik pakai macam ni bila keluar. Jangan pakai tudung labuh kat dalam sekolah je. Orang yang pakai tudung labuh ni, maruahnya terjaga. Bila pakai tudung labuh, orang tak berani mengurat. Hihi..'

Aku terdiam mendengar kata-katanya. Terasa kata-kata itu benar-benar tepat menikan di hatiku.

'Abang turun dulu. Kalau nak tahu, abang ni ex sekolah adik'

Pemuda sopan itu berlalu keluar. Aku menghantar langkahnya dengan pandangan kosong. Sekumpulan anak muda masuk ke dalam perut bas. Bising. Mereka berpakaian serba hitam dengan rambut tercacak berwarna-warni. Aku kembali teringat peristiwa itu. Belum sempat berbuat apa-apa, salah seorang dari mereka mengambil tempat di sebelahku. Tetapi, dia juga seperti pemuda sopan tadi. Sekadar duduk di hujung kerusi. Aku terkesima. Kata-kata pemuda tadi kembali terngiang-ngiang di telingaku. Bayangan peristiwa hitam itu bermain di mindaku. Ya, saat itu aku berpakaian kurang sopan. Tudungku pendek menampakkan perhiasanku. Bajuku ketat dan tidak menutup aurat.

Aku kembali ke alam nyata. Bayangan peristiwa lalu itu hilang dari mindaku. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk berubah. Aku bersyukur kerana diganggu oleh pemuda kurang sopan itu dan aku bersyukur dipertemukan dengan pemuda sopan yang menasihatiku itu. Jika tidak kerana mereka, pasti aku semakin jauh tersesat. Pasti aku akan sentiasa bertudung labuh kerana malu bukan kerana ALLAH.

Sejak peristiwa itu, aku mula mengikhlaskan diri dalam bertudung labuh. Aku tidak lagi memakainya hanya untuk ke sekolah. Aku memakainya di mana-mana sahaja apabila aku keluar dari rumah. Dan segalanya benar, bertudung labuh secara automatik membuatku terjaga. Maruahku terpelihara dan tidak dipermainkan. Tiada orang yang berani menggangguku bahkan dengan bertudung labuh juga, aku jadi lebih berhati-hati dengan sikapku kerana aku tahu ada banyak mata yang memerhati langkahku.

Aku bangun lalu turun ke bawah. Rupa-rupanya adik-adikku keluar bermain di taman. Aku tersenyum melihat adik-adik perempuanku yang turut manis bertudung labuh. Aku ingin mereka menjadi gadis solehah. Kini, aku bertudung labuh kerana ALLAH bukan lagi kerana malu dengan teman-temanku. Walaupun bukan tudung labuh seperti waktu aku bersekolah, ia masih lagi labuh dan menutup auratku. Aku akan sentiasa cuba untuk memperbaiki diriku menjadi gadis yang solehah.

p/s: Kisah ini adalah kisah benar seorang gadis. Kisahnya simple tetapi boleh dijadikan pengajaran untuk semua. Saya gunakan bahasa diri aku agar pembaca mudah untuk memahaminya. Semoga kita diberi peluang untuk berubah seperti gadis ini dan kita sama-sama doakan agar dia istiqamah dengan perubahannya itu. Ameeennn..

-Artikel Iluvislam.com